Beberapa ekor kucing yang menjadi mangsa perbuatan tidak senonoh seorang lelaki berusia 49 tahun berjaya diselamatkan dalam operasi bersama polis dan aktivis pencinta haiwan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, tindakan memindahkan haiwan berkenaan dilakukan bagi menjamin keselamatan kucing yang masih berada di sekitar kediaman keluarga suspek selepas lelaki itu ditahan kira-kira jam 10 pagi semalam.
Menurutnya, kucing yang dipercayai menjadi mangsa dalam kejadian tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Kelantan untuk pemeriksaan lanjut, manakala polis masih menyiasat dakwaan suspek mempunyai masalah kesihatan mental kerana belum menerima pengesahan doktor atau rekod perubatan berkaitan.
Sementara itu, aktivis pencinta haiwan, Nur Izyan Syahida Rosli berkata,dia hadir ke balai polis sebelum mengikuti anggota bertugas ke kediaman suspek bagi membantu menyelamatkan beberapa ekor kucing yang masih berada di kawasan berkenaan.
Menurutnya, dua ekor kucing yang berjaya dibawa keluar dipercayai anak kepada kucing yang menjadi mangsa dan kini ditempatkan di bawah jagaan Kelab Pencinta Haiwan Pewaris Kelantan. Bagaimanapun, kucing yang menjadi mangsa masih belum boleh diambil kerana siasatan sedang dijalankan.
“Kami juga dimaklumkan ada beberapa ekor kucing lagi sekitar kediaman pelaku dan dinasihatkan untuk kami ambil sebagai haiwan angkat. Dua ekor yang sempat diambil dipercayai anak kepada kucing yang menjadi mangsa,” katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Nur Izyan turut menyatakan hasrat untuk menghubungi DVS Kelantan bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan kucing berkenaan, selain memohon orang ramai mendoakan keselamatannya.
Terdahulu, suspek ditahan selepas video berdurasi 56 saat memaparkan perbuatan tidak senonoh terhadap seekor kucing tular.
Sumber: Berita Harian, Nor Izyan Syahida








