Cadang sekolah dibuka hingga malam, wanita dikecam netizen | The Reporter

Cadang sekolah dibuka hingga malam, wanita dikecam netizen

Tangkap layar hantaran pengguna Threads yang mencadangkan sekolah dibuka hingga malam dan cikgu bekerja secara syif sehingga mencetuskan kritikan netizen.
Tangkap layar hantaran pengguna Threads yang mencadangkan sekolah dibuka hingga malam dan cikgu bekerja secara syif sehingga mencetuskan kritikan netizen.

Cadangan seorang wanita supaya sekolah dibuka sehingga waktu malam dengan tenaga pengajar bekerja secara syif mengundang perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

Menerusi perkongsian di Threads, wanita menggunakan nama akaun @nrtrhhmdn itu berpendapat langkah berkenaan dapat membantu ibu bapa yang bekerja, khususnya mereka yang berdepan kesukaran menguruskan penjagaan anak selepas waktu persekolahan.

“Setuju tak sekolah dibuka sampai malam? Cikgu-cikgu boleh mula kerja syif. Aku rasa mesti ramai ibu bapa yang akan setuju idea ini.

“Entahlah, penat jaga anak-anak ini. Kalau dapat hantar ke sekolah sampai malam, tenang sikit hidup. Cikgu-cikgu pun macam relaks sangat. Rasa sikit kerja syif macam mana,” tulisnya.

Bagaimanapun, kenyataan itu mengundang kritikan apabila sebahagian pengguna media sosial menganggap cadangan tersebut seolah-olah memperkecilkan tanggungjawab dan beban tugas warga pendidik.

Malah, ungkapan yang menggambarkan tenaga pengajar sebagai terlalu santai turut menjadi perhatian kerana dianggap tidak mengambil kira tugas mereka di luar waktu pengajaran, termasuk menyediakan bahan pembelajaran, menyemak tugasan dan menguruskan hal ehwal murid.

Wanita berkenaan juga menjelaskan bahawa cadangannya bukan bertujuan menghina profesion perguruan, sebaliknya mewakili pandangan ibu bapa yang penat bekerja.

“Ini cuma cadangan, bukan nak mengata profesion guru. Tapi cuma mewakili suara-suara ibu bapa di luar sana yang penat bekerja termasuk saya. Jangan marah-marah.

“Cikgu cuti pun banyak, tak macam kami kerja swasta. Dan sebab itu cadangkan syif, bukan kerja terus dari pagi sampai malam,” jelasnya.

Related Posts