Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Polis menahan tujuh kanak-kanak lelaki berusia 11 hingga 15 tahun yang didapati mencuri motosikal penduduk di Taman Sibujaya.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kesemua suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Sibu dan juga Bahagian Ronda Cegah Jenayah, Balai Polis Sibujaya, kelmarin.
Difahamkan, polis terdahulu menerima tiga laporan daripada orang awam yang mendakwa motosikal milik mereka telah hilang.
Bertindak di atas laporan itu, polis telah menahan dua suspek berusia 12 dan 15 tahun, manakala lima lagi rakan suspek berusia 11 hingga 13 tahun ditahan kemudian. Polis turut merampas tiga buah motosikal yang dicuri dan dibawa ke balai untuk tindakan lanjut.
Ketika disoal siasat, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes itu dan direman mulai 11 hingga 13 Disember ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun, serta denda.
Sumber: Kosmo! Online