59 maut ketika cuba dapatkan bantuan makanan di Gaza, Israel siasat tembakan kereta kebal | The Reporter

59 maut ketika cuba dapatkan bantuan makanan di Gaza, Israel siasat tembakan kereta kebal

Wanita Palestin berkabung di sisi jenazah mangsa serangan tembakan di Gaza
Kredit gambar: Hatem Khaled/Reuters

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Israel tembak orang awam di Khan Younis, 59 maut, 221 cedera
• Tentera Israel akui melepaskan tembakan, siasatan sedang dijalankan
• Insiden berlaku ketika penduduk berebut bantuan makanan dari trak bantuan

Sekurang-kurangnya 59 penduduk Gaza terbunuh apabila kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah orang awam yang sedang menunggu bantuan makanan di Khan Younis, pada Selasa. Kejadian tragik itu turut menyebabkan lebih 220 orang cedera, termasuk 20 dalam keadaan kritikal.

Insiden berlaku ketika ribuan penduduk yang berdepan kebuluran akibat perang berpanjangan, berkumpul di jalan utama timur Khan Younis untuk mendapatkan bantuan dari trak yang melalui kawasan itu.

“Kami hanya nak tepung untuk anak-anak kami”

Seorang saksi, Alaa, menceritakan detik cemas itu kepada Reuters ketika ditemui di Hospital Nasser.

“Tiba-tiba mereka benarkan kami mara dan semua berkumpul. Lepas tu peluru mula jatuh, peluru kereta kebal.

“Tiada siapa pandang kami dengan belas kasihan. Orang ramai mati, badan hancur semata-mata nak cari makanan untuk anak mereka.”

Gambar dan video yang tular menunjukkan mayat bergelimpangan di atas jalan, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital menggunakan kereta, beca dan kereta keldai kerana kekurangan ambulans.

Tentera Israel akui tembakan, siasat kejadian

Tentera Israel (IDF) mengesahkan mereka melepaskan tembakan di kawasan kejadian dan kini sedang menyiasat insiden itu.

Dalam kenyataannya, IDF berkata, “Satu kumpulan dikenal pasti berhampiran trak bantuan yang tersangkut di kawasan Khan Younis, berdekatan dengan pasukan kami. Kami maklum mengenai laporan kecederaan akibat tembakan kami dan siasatan sedang dijalankan. Kami kesal jika ada orang tidak bersalah yang tercedera.”

Kejadian ini merupakan insiden paling berdarah sejak bantuan mula disalurkan semula ke Gaza bulan lalu.

Bantuan dihantar, tetapi masih ramai jadi mangsa

Israel kini mengedarkan bantuan melalui Gaza Humanitarian Foundation (GHF), badan yang disokong AS dan Israel. Namun, kejadian pada Selasa tidak berlaku di tapak edaran GHF, sebaliknya berhampiran lokasi milik Program Makanan Dunia (WFP) PBB.

PBB mengkritik sistem GHF sebagai tidak selamat dan berat sebelah, manakala Israel mendakwa ia penting untuk menghalang Hamas daripada mencuri bantuan. Namun, dakwaan itu dinafikan Hamas.

Sejak sekatan dilonggarkan sedikit tiga minggu lalu, ratusan penduduk Gaza didakwa terbunuh ketika cuba menghampiri pusat bantuan.

Sementara itu, konflik terus berlarutan sejak Oktober 2023 apabila Hamas menyerang Israel dan membunuh 1,200 orang. Serangan balas Israel ke atas Gaza sehingga kini telah mengorbankan hampir 55,000 rakyat Palestin dan menyebabkan hampir seluruh 2.3 juta penduduknya kehilangan tempat tinggal.

Sumber: Reuters

Related Posts