Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini, tular sebuah video di media sosial yang menunjukkan sekumpulan pelajar sekolah di Marang dengan pakaian seragam yang diconteng sambil menunggang motosikal dan membuat bising di jalanan bagi meraikan tamatnya sesi persekolahan.
Tindakan sekumpulan pelajar itu mencetuskan perhatian ramai sehingga mengganggu ketenteraman awam yang kemudian bertindak membuat aduan kepada pihak berkuasa. Susulan aduan yang diterima, pihak polis telah melancarkan Operasi Samseng Jalanan untuk menangani situasi tersebut.
59 pelajar diperiksa, 45 motosikal disita
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd Sofian Redzuan, berkata seramai 59 pelajar, termasuk 58 lepasan SPM dan seorang berusia 15 tahun, telah diperiksa dalam operasi yang berlangsung selama tiga jam bermula jam 12 tengah hari, Khamis, 16 Januari 2025.
“Sebanyak 45 motosikal disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan 120 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Hasil pemeriksaan lanjut, dua motosikal yang ditunggang pelajar berusia 17 tahun dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Diarah Solat Asar berjemaah
Pelajar yang terlibat diarahkan berjalan ke surau IPD Marang untuk menunaikan solat Asar secara berjemaah selepas proses dokumentasi dilakukan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT). Mereka juga diberikan nasihat berhubung keselamatan dan peraturan jalan raya.
“Kebanyakan pelajar terlibat adalah dari sekolah di Marang dan Hulu Terengganu. Kami ingin mengingatkan ibu bapa agar memantau anak-anak bagi mengelak mereka terjebak dalam kegiatan tidak sihat,” ujarnya.
Tambah beliau, semua pengguna jalan raya, terutamanya golongan remaja, perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk keselamatan diri dan pengguna lain.
Terdahulu, video berdurasi 29 saat itu memaparkan sekumpulan pelajar berbaris di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dengan pakaian seragam yang diconteng, mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro








