Lapan pelajar sebuah sekolah menengah Sungai Petani dikenakan tindakan tegas selepas didapati terbabit dalam satu kejadian pergaduhan yang turut menyebabkan seorang pelajar lelaki dibelasah hingga pengsan pada Isnin lalu.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lima pelajar terbabit telah dibuang sekolah, manakala tiga lagi digantung susulan hasil siasatan dalaman pihak sekolah.
Menurut kenyataan itu, siasatan dilakukan secara menyeluruh sebelum keputusan hukuman diputuskan semalam.
“JPN Kedah menegaskan tiada kompromi terhadap isu buli, keganasan dan salah laku pelajar,” katanya.
JPN Kedah turut mengingatkan semua institusi pendidikan di negeri tersebut agar terus mematuhi prosedur pengurusan disiplin semasa, memberi keutamaan kepada keselamatan murid serta melaksanakan intervensi pencegahan bagi menjamin kesejahteraan warga sekolah.
Baca juga:
- Tembakan ke arah lembu korban tular: Tindakan elak risiko, kata MB Perlis
- FINAS sahkan penamatan tayangan filem Konspirasi atas permintaan penerbit
- Video tular: Polis siasat dakwaan MB Perlis tembak lembu
Terdahulu, seorang pelajar lelaki tingkatan empat di sebuah sekolah di Sungai Petani ditemukan pengsan dengan kecederaan lebam pada badan selepas dipercayai dibelasah empat rakan sekolah dalam kejadian pada awal pagi Isnin lalu.
Mangsa berusia 16 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah sekitar jam 9 pagi oleh seorang cikgu sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan lanjut.
Sumber: Berita Harian, JPN Kedah








