Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 20 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes curi mesin penapis air jenama Coway dari tiga buah masjid sekitar Nilai.
Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Bin Hasim, pihaknya menerima tiga laporan polis pada 30 Jun lalu berhubung kehilangan mesin penapis air yang diletakkan di luar ruang solat masjid-masjid terlibat.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Nilai bersama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah menjalankan beberapa siri tangkapan di kawasan Pangsapuri Bandar Tasik Kesuma dan Beranang, Selangor.
“Tangkapan pertama dilakukan pada 3 Julai 2025 kira-kira jam 12.00 tengah hari melibatkan suspek utama. Tangkapan kedua pula dibuat beberapa minit kemudian sekitar jam 12.15 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil tangkapan tersebut membawa kepada rampasan barangan kes utama iaitu satu unit mesin penapis air Coway yang dilaporkan dicuri pada 30 Jun. Turut dirampas ialah sebuah kereta jenis Proton Gen2, sebatang telefon bimbit, pakaian semasa kejadian dan peralatan dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah.
Siasatan awal mendapati semua suspek menggunakan media sosial untuk mencari pembeli barangan curi serta menyasarkan masjid-masjid yang kurang dikunjungi jemaah.
“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk kes narkotik. Ujian air kencing turut mendapati empat daripada lima suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” tambah beliau.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, selain boleh dikenakan denda dan sebat.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada 4 Julai 2025 untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
Polis turut merakam penghargaan kepada orang awam yang membantu dalam menyelesaikan kes ini dan menyeru semua pihak agar sentiasa peka terhadap keselamatan di kawasan ibadah.








