5.4 juta penerima bakal nikmati SARA mulai April | The Reporter

5.4 juta penerima bakal nikmati SARA mulai April

Bantuan SARA ditingkatkan dengan 5.4 juta penerima menjelang April 2025.
Bantuan SARA diperluas kepada 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM13 bilion tahun ini. | Foto hiasan

Jumlah penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bakal meningkat kepada 5.4 juta orang menjelang April ini, dengan peruntukan keseluruhan mencapai RM13 bilion, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, pertambahan itu melibatkan 4.7 juta penerima baharu yang sebelum ini menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), selain 700,000 penerima sedia ada.

“Mulai April ini, mereka yang menerima STR akan turut mendapat manfaat SARA, menjadikan jumlah penerima keseluruhan 5.4 juta orang di seluruh negara. Ini juga menyebabkan peruntukan bagi STR dan SARA tahun ini meningkat kepada RM13 bilion, berbanding RM10 bilion tahun lalu,” katanya.

Selain itu, kadar bantuan SARA turut dinaikkan, di mana isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod eKasih akan menerima RM2,100 pada 2025, berbanding RM1,200 tahun lalu.

“Mulai Januari hingga Mac 2025, bantuan akan dikreditkan ke dalam MyKad penerima sebanyak RM100 sebulan. Bermula April, jumlah itu meningkat kepada RM200 sebulan, dengan baki kredit boleh dibawa ke hadapan selama setahun untuk pembelian barangan asas, kebersihan diri, ubat-ubatan, dan kelengkapan persekolahan,” katanya.

Dalam masa sama, jumlah kedai runcit yang menerima transaksi SARA juga diperluaskan kepada 1,700 buah berbanding 700 tahun lalu. Setakat ini, sebanyak RM67 juta telah dibelanjakan oleh penerima SARA di premis berdaftar seluruh negara.

Sumber: Harian Metro (Hamzah Osman)

Related Posts