Usahawan terkenal dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming, sekali lagi mencipta kejayaan besar dengan pelancaran produk terbarunya, Dendeng Nyet Berapi Ekstra Pedas. Dalam masa kurang sejam, sebanyak 40,000 paket produk ini habis terjual menerusi sesi live di TikTok, menghasilkan jualan melebihi RM600,000.
Menurut Khairul Aming, harga Dendeng Nyet Ekstra Pedas perlu dinaikkan sebanyak RM1 berbanding versi asal disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya, penggunaan cili 2 hingga 3 kali ganda berbanding versi biasa yang memerlukan lebih banyak minyak masak dan gas serta memanjangkan tempoh memasak agar cili benar-benar masak.
“Saya faham kos tambahan untuk produk ini lebih daripada RM1, namun saya tidak mahu mengenakan kenaikan harga yang lebih tinggi kerana saya bimbang ia akan membebankan pengikut saya,” jelas Khairul Aming.
Respon daripada peminat ternyata sangat positif, dengan ramai memuji ketelusan Khairul Aming dalam menjelaskan sebab di sebalik setiap perubahan harga dan ramuan.
Ramai yang menyatakan mereka sanggup membayar lebih asalkan dapat menikmati produk tempatan berkualiti tinggi.
Khairul Aming turut mengucapkan terima kasih kepada para pembeli dan berharap produk ini terus mendapat sambutan yang menggalakkan. Sebagai usahawan, beliau juga mengingatkan agar semua pihak sentiasa berusaha menambah baik produk untuk memuaskan hati pelanggan.








