Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Selepas tragedi yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI, laluan Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) Gerik–Jeli bakal dilengkapi 385 lampu jalan solar, dalam usaha mempertingkatkan aspek keselamatan di kawasan berkenaan.
Langkah itu diumumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) yang turut memaklumkan proses pemberian tender akan dimuktamadkan sekitar Julai ini. Projek tersebut turut melibatkan lokasi kemalangan yang menjadi perhatian ramai baru-baru ini.
Walaupun pemasangan lampu itu dilihat sebagai langkah proaktif, pihak JKR menjelaskan kejadian yang berlaku pada awal pagi Isnin lalu bukan berpunca daripada keadaan gelap di jalan terbabit.
Menurut Pengarah JKR Perak, Ir Zamri Mat Kasim, siasatan menunjukkan faktor kelajuan menjadi penyumbang utama kemalangan. Tambah beliau, permukaan jalan berada dalam keadaan baik dan lengkap dengan peralatan keselamatan seperti penghadang jalan serta papan tanda.
Kerja-kerja penurapan semula dan pengecatan garisan jalan juga telah diperuntukkan sebelum insiden berlaku, menunjukkan laluan tersebut bukan dalam keadaan terabai seperti yang mungkin disangka orang awam.
Pasukan forensik dari Ibu Pejabat JKR turut digerakkan ke lokasi bagi menjalankan analisis teknikal terperinci, sebagai sebahagian daripada pelaporan pasca-tragedi.
Nahas melibatkan sebuah bas persiaran itu berlaku ketika dalam perjalanan dari Jerteh ke kampus Tanjung Malim. Kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik dan melanggar sebuah Perodua Alza, menyebabkan 15 maut dan 27 lagi cedera.
Sumber: Sinar Harian








