Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Mohd Sophian Mohd Zain, baru-baru ini bersama pasukannya turun ke Cameron Highlands, susulan mendapat aduan seramai 35 peniaga di Medan Agro telah ditindas.
Menurut beliau, pihaknya mendapat maklumat kadar sewa kedai dinaikkan begitu tinggi dan sekali gus menjejaskan pendapatan para peniaga di kawasan itu. Malah, ada beberapa peniaga kecil yang dikenakan saman puluhan ribu ringgit.
“Mereka tidak dapat berniaga, hilang mata pencarian, dalam keadaan susah dan anak pula menghidap penyakit jantung, dapat pula surat saman RM61,000.
“Dulu kedai ini mereka punya. Sebelum berniaga di kedai ini, mereka berniaga di luar selama 20 tahun. Kemudian Majlis Perbandaran Cameron Highlands meminta mereka berniaga di kedai ini dengan bayaran sewa bulanan RM500.
“Selepas kawasan ini dipajakkan oleh pihak berkuasa tempatan kepada syarikat lain, kadar sewa dinaikkan RM7,5000 dan mereka tidak berkemampuan untuk membayar sewa. Boleh bayangkan dapat saman RM61,000?
“Ini melibatkan isu kezaliman di dalam negara kita sendiri. Warga asing bebas berniaga, mengikut sesuka hati dan tidak dikenakan tindakan. Apabila rakyat tempatan berniaga, ditindas, ditekan dan dihentam betul-betul sehingga menyebabkan mereka hilang mata pencarian. Suka tengok rakyat merempat?” katanya.
Desak PM bantu peniaga kecil
Mohd Sophian turut mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengotakan janji untuk membela peniaga-peniaga kecil seperti mana dalam kenyataannya yang pernah disebut sebelum ini.
“Para pelancong datang kata barang di Cameron Highlands mahal. Macam mana tak mahal? Sewa kedai RM500 dinaikkan ke RM7,500 sebulan. Ini semua adalah penindasan kepada pelancong dan peniaga.
Sementara itu, peniaga yang menerima saman tersebut mengakui mereka tidak membayar saman yang dikenakan.
Kedai hanya diberi kepada pihak tertentu?
Dalam satu video yang lain pula, seorang peniaga sayur menjelaskan pendapatannya kini terjejas dan kini terpaksa berniaga di pasar malam dengan pendapatan RM70 sehari.
“Saya sekarang berniaga di pasar malam dengan pendapatan RM70, gaji sudah sama seperti yang diterima oleh warga asing. Dua anak saya sekarang berada di universiti, tapi saya tak mampu nak bayar.
“Sewa kedai bersaiz 12 x 15 kaki ini sekarang dinaikkan dari RM500 ke RM7,500 sebulan, dengan alasan harga pasaran sudah naik.
“Bila saya kata mampu bayar, pihak berkenaan pula tidak mahu menerima permohonan saya. Saya nak bayar RM10,000 pun mereka enggan terima,” katanya yang percayai kedai tersebut hanya diberi kepada pihak-pihak tertentu.