35 penduduk maut ditimbus runtuhan timbunan sampah | The Reporter

35 penduduk maut ditimbus runtuhan timbunan sampah

Minggu lalu, sebuah tragedi besar melanda ibu kota Uganda apabila sebahagian besar timbunan sampah di tapak pelupusan Kiteezi runtuh, mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 35 orang.

Tanah runtuh ini berlaku selepas hujan lebat yang melanda kawasan tersebut, menyebabkan banjir dan kerosakan yang besar.

Lapor Africa News, kejadian ini berlaku pada malam Jumaat, ketika sebahagian besar timbunan sampah di tapak pelupusan Kiteezi yang terletak di pinggir utara Kampala, runtuh.

Puluhan rumah berhampiran tapak pelupusan sampah telah tertimbus ketika penduduk sedang tidur. Sehingga kini, sekurang-kurangnya 28 orang masih hilang dan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan. 12 daripada 35 mangsa adalah golongan muda.

Pasukan mencari dan menyelamat berdepan dengan cabaran besar kerana keadaan mayat yang ditemui sukar dikenalpasti. Penduduk tempatan dan sukarelawan terus berusaha mencari mangsa yang masih hilang di tapak pelupusan tersebut.

Tapak pelupusan Kiteezi adalah satu-satunya tapak pelupusan sampah di Kampala. Penduduk sekitar telah lama mengadu tentang sisa buangan berbahaya yang mencemari alam sekitar.

Presiden Uganda, Yoweri Museveni, telah mengarahkan siasatan dijalankan terhadap kejadian ini. Pihak berkuasa Kampala juga telah mempertimbangkan untuk menutup tapak pelupusan ini dan membuka kawasan pelupusan baru di luar bandar sejak tahun 2016, namun pelan tersebut masih belum dilaksanakan.

Related Posts