Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Mulai jam 10.30 pagi esok, Auctrade Auctions Solution akan melelong 34 barangan milik pelakon Rozita Che Wan di kediamannya di Kota Damansara, dengan nilai keseluruhan RM902,012.46.
Antara barangan tersebut ialah sebuah kereta jenama Haval, peti ais, pendingin hawa, ketuhar, ketuhar gelombang mikro, mesin basuh, mesin pengering, vakum, televisyen, dan perabot.
Dokumen mengenai jualan itu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyelesaikan tunggakan hutang pelakon yang lebih dikenali sebagai Che Ta itu.
Terdahulu, kediaman Che Ta telah diserbu oleh pegawai Mara, peguam, dan wakil mahkamah pada 10 Disember lalu. Serbuan itu dilakukan berikutan kegagalannya membayar balik pinjaman hampir RM1 juta yang dibuat pada tahun 2017.
Difahamkan, Rozita meminjam RM960,000 daripada Mara tetapi tidak membuat sebarang bayaran semula sejak itu. Mara kini dalam proses memfailkan tindakan kebankrapan terhadap beliau serta anak sulungnya, Ammar Effendy, yang bertindak sebagai penjamin.
Lelongan ini dijangka menarik perhatian ramai kerana melibatkan barangan bernilai tinggi, termasuk aset peribadi milik pelakon terkenal berusia 51 tahun tersebut.
Sumber: Malaysia Gazette