Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan peletakan jawatannya sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka bukan satu pengunduran, sebaliknya langkah strategik bagi memperhebat gerakan menentang DAP selaras tuntutan akar umbi parti.
Berucap ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Putera UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata tindakannya melepaskan jawatan Exco minggu hadapan akan membuka ruang lebih luas untuk Pemuda UMNO bergerak lebih agresif di seluruh negara.
“Saya nak beritahu, bila Akmal Saleh letak jawatan Exco, insya-Allah saya akan lahirkan 300,000 lagi Akmal Saleh untuk hentam mereka,” katanya, disambut sorakan dan tepukan perwakilan.
Baca juga:
- Wanita kongsi perkembangan ‘Api Bunga’, kucing terselamat dari kebakaran
- Wan Fayshal desak Muhyiddin berundur sebagai Presiden parti
- Jeritan selamatkan nyawa, kanak-kanak nyaris maut diserang individu di Rawang
Menurut Akmal, reaksi panik segelintir pihak terhadap pengumuman itu membuktikan kebimbangan mereka terhadap pendirian tegas Pemuda UMNO selepas ini. Beliau turut meminta penyokongnya agar tidak risau kerana perjuangan yang dibawa bukan bersifat peribadi, sebaliknya demi kepentingan parti dan suara akar umbi.
Terdahulu, Akmal mengumumkan keputusannya meletakkan jawatan Exco susulan desakan akar umbi yang mahu UMNO tidak lagi bekerjasama dengan DAP. Tegasnya, langkah tersebut juga bertujuan melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang lantang, berani dan konsisten mempertahankan prinsip parti.
Beliau menambah, perjuangan dalam Pemuda UMNO sememangnya menuntut keberanian serta kesanggupan berdepan risiko politik dan bukan laluan selesa. Dalam masa sama, Akmal mengingatkan Pemuda UMNO agar tidak terperangkap dengan nostalgia semata-mata, sebaliknya perlu membina masa depan dan hala tuju baharu untuk parti serta negara.
Sumber: Harian Metro










