3 lelaki dikecam hina gelandangan, ‘sedekah’ nasi & tulang ayam demi konten | The Reporter

3 lelaki dikecam hina gelandangan, ‘sedekah’ nasi & tulang ayam demi konten

Perlekeh golongan gelandangan demi kandungan media sosial

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sekumpulan lelaki mencetuskan kemarahan ramai selepas rakaman video yang didakwa sebagai kerja amal terhadap seorang gelandangan dimuat naik ke media sosial. Meskipun video itu dimulakan dengan kenyataan bahawa mereka tidak mahu buat cabaran sebaliknya memilih untuk “buat kebajikan”, tindakan mereka selepas itu dianggap tidak beradab.

Dalam rakaman tersebut, tiga lelaki berkenaan membeli makanan segera dari KFC, namun bukan untuk diberikan secara sempurna. Sebaliknya, tulang ayam lebihan selepas makan dibungkus bersama nasi lalu diserahkan kepada seorang lelaki gelandangan. Momen itu dirakam penuh gaya dramatik seolah-olah ia sebuah tindakan murni.

Baca juga:

Netizen anggap perbuatan sebagai satu penghinaan

Perbuatan itu telah mengundang banyak kecaman netizen yang menyifatkan tindakan memberi tulang ayam kepada golongan gelandangan sebagai menghina dan mempermainkan nasib golongan susah demi kandungan media sosial. Ada yang melihat video itu sebagai contoh buruk bagaimana konsep sedekah dan empati telah disalahertikan demi perhatian.

“Hari ini kami tak buat cabaran. Hari ini kami nak buat kebajikan! Wah, sedap gila! Tulang ni membazir kalau buang. Tak boleh bazirkan makanan.

Selepas selesai makan, mereka membungkus tulang ayam yang telah dimakan dan membuat keputusan, “Kami putuskan untuk dermakan tulang ni kepada yang memerlukan.”

Mereka kemudian menuju ke lokasi gelandangan dan menyerahkan bungkusan tersebut sambil berkata, “Saya tak makan banyak pun, sikit je. Boleh tak?”

Apabila dibuka, gelandangan itu kelihatan tergamam seketika melihat bungkusan nasi yang dicampur dengan sisa tulang ayam dan hanya mampu memberi isyarat ‘terima kasih’.

Dalam penghujung video yang sama, salah seorang lelaki terbabit dirakam memberi cebisan ayam kepada anjing peliharaannya sambil berkata, “Bagi anjing saya makan lah.”

Momen ini menambah kemarahan netizen kerana kontras antara layanan terhadap haiwan peliharaan dan individu gelandangan yang sepatutnya dibantu dengan hormat.

SKMM dan PDRM digesa siasat

Ramai pengguna media sosial turut mendesak agar siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa, khususnya SKMM dan PDRM, dengan merujuk kepada dua peruntukan undang-undang yang berkemungkinan terpakai, Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang melibatkan kesalahan menghina dengan niat mencetuskan gangguan awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkenaan penyalahgunaan kemudahan rangkaian untuk menyebar kandungan jelik atau mengganggu.

Kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara, denda, atau kedua-duanya sekali. Nama kedua-dua agensi itu turut ditandakan dalam ratusan komen dan ciapan sebagai gesaan tindakan segera.

Ramai persoal sikap terhadap golongan susah

Di sebalik kemarahan terhadap tindakan individu, netizen juga mempersoalkan tahap moral dan kesedaran sosial dalam kalangan anak muda masa kini. Ramai menganggap insiden ini mencerminkan kegagalan mendidik tentang rasa hormat dan nilai kemanusiaan.

Malah ada yang menzahirkan rasa malu kerana perbuatan itu dilakukan oleh sekumpulan lelaki berkenaan yang mewakili latar belakang bangsa tertentu, namun dalam masa yang sama menyeru agar kecaman tidak digeneralisasi kepada keseluruhan komuniti.

Sumber: Threads nd.31243

Related Posts