29 selebriti berstatus bankrap, antaranya masih aktif berkarya | The Reporter

29 selebriti berstatus bankrap, antaranya masih aktif berkarya

Ilustrasi lelaki berpakaian kemas berdepan tekanan kewangan dengan dokumen hutang dalam suasana pejabat mewah.
Gambar hiasan

Seramai 29 selebriti tempatan masih tersenarai sebagai individu bankrap setakat Jun lalu, meskipun sebahagian daripada mereka merupakan nama besar dalam industri hiburan yang masih aktif berkarya.

Memetik laporan Kosmo, Pengarah Insolvensi Bahagian Kebankrapan, Jabatan Insolvensi, Fajrul Shihar Abu Samah berkata, kebanyakan mereka memilih untuk mendapatkan bantuan jabatan itu selepas tidak lagi mampu berdepan tekanan akibat diburu institusi kewangan susulan kegagalan melunaskan hutang yang ada antaranya mencecah jutaan ringgit.

Beliau berkata, individu terbabit terdiri daripada pelbagai latar belakang dalam dunia hiburan termasuk artis legenda, pelakon terkenal, pelakon veteran, bekas hero remaja dan penerima pelbagai anugerah. Bagaimanapun, identiti mereka tidak didedahkan.

Lebih separuh artis berjaya keluar status bankrap

Menurutnya, rekod Jabatan Insolvensi menunjukkan seramai 66 artis dan selebriti pernah diisytiharkan bankrap sejak 2012. Daripada jumlah itu, lebih separuh berjaya dibebaskan daripada status berkenaan selepas mengikuti proses pemulihan, bimbingan serta khidmat nasihat yang disediakan jabatan tersebut.

Fajrul Shihar menjelaskan, semua 29 selebriti yang masih berada dalam senarai bankrap kini memberikan kerjasama baik dalam usaha menyelesaikan hutang masing-masing. Malah, ada yang meningkatkan jumlah bayaran apabila memperoleh pendapatan lebih melalui tawaran kerja, sekali gus memudahkan proses pentadbiran hutang oleh Jabatan Insolvensi yang bertindak sebagai pengantara antara penghutang dan pemiutang.

Baca juga:
Kelemahan urus kewangan

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan punca khusus setiap kes, namun kebanyakan kebankrapan lazimnya berpunca daripada kelemahan mengurus kewangan selain komitmen terhadap pinjaman peribadi atau pembelian aset. Menurutnya, golongan selebriti lazimnya lebih berusaha untuk keluar daripada status bankrap kerana dikenali masyarakat.

Dalam perkembangan sama, seramai 26,782 individu di seluruh negara direkodkan bankrap bagi tempoh 2022 hingga akhir Jun lalu. Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 6,212 kes, diikuti Wilayah Persekutuan (3,618), Johor Bahru (2,301), Kedah (1,663) dan Pulau Pinang (1,527), manakala Perlis merekodkan jumlah paling rendah iaitu 193 kes.

Pinjaman peribadi kekal menjadi penyumbang terbesar kepada kes kebankrapan dengan 11,999 kes atau 44.8 peratus daripada keseluruhan kes, diikuti pinjaman perniagaan, perumahan, sewa beli kenderaan dan beberapa kategori hutang lain.

Related Posts