Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seramai 28 individu, termasuk 20 penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), melalui detik mencemaskan apabila bas ekspres yang mereka naiki melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) awal pagi tadi.
Memetik Kosmo! Online, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 1 pagi ketika bas dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju Terminal Sentral Kuantan.
Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, siasatan awal mendapati kenderaan berat itu sedang bergerak di lorong kiri sebelum dirempuh dari belakang oleh bas yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun.
Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan semua penumpang, termasuk kedua-dua pemandu serta kelindan treler. Kesemua penumpang kemudiannya dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan ke destinasi asal mereka.
Jelas Wong lagi, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaannya. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA, Haykal memaklumkan bahawa semua pelajar terlibat tidak mengalami kecederaan dan selamat tiba di kampus.
Katanya, bas membawa penuntut tersebut tiba di pekarangan Masjid UMPSA, Kampus Gambang pada jam 3.56 pagi dan disambut oleh pasukan MPP yang turut membantu urusan penghantaran ke kolej kediaman masing-masing.
Sumber : Kosmo! Online




