Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dua pesawat pengangkut Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diterbangkan ke Pangkalan Udara Al Maza di Mesir untuk membawa warga Palestin yang cedera ke Malaysia untuk rawatan.
Menerusi beberapa laporan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan perkara tersebut dan akan memaklumkan perkara berkenaan.
“Ya, saya akan memaklumkan kepada media (tentang tempat rawatan mereka) apabila mereka tiba,” katanya.
Terdahulu, tular hantaran beberapa individu yang berkongsikan menerusi FlightRadar 24 yang menunjukkan dua pesawat A400M yang mempunyai nombor panggilan RMF148 dan RMF147 berlepas dari Pangkalan Udara Subang sekitar pukul 7 malam pada hari Selasa sebelum dilaporkan berada di Kaherah, Mesir.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan membantu merawat warga Palestin yang cedera, terutamanya wanita dan kanak-kanak, dengan membawa mereka ke Malaysia.
Pengumuman tersebut dibuat semasa acara kemuncak pada Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil di Kuala Lumpur 4 Ogos lalu.
Sementara itu, duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, mengatakan bahawa rakyat Palestin yang cedera masih diproses di Mesir sebelum mereka boleh dibawa ke negara ini.
Sumber: Bernama, New Straits Times,Irfan








