Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.
Tertuduh, Najib Hashim, 22, dan adiknya, Muhammad Nazim, 18, serta rakan mereka, Mohamad Rizuan Semail, 18, membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, Najib dan adiknya didakwa merogol mangsa di dalam sebuah kenderaan berwarna hijau, di tepi jalan di Bandar Baru Uda pada jam 9 malam, 4 Ogos 2023.
Selepas sehari kemudian, Mohamad Rizuan pula didakwa melakukan perbuatan yang sama terhadap mangsa di sebuah kediaman pada jam 9 malam, 5 Ogos dan 10 malam pada keesokan harinya.
Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Peguam yang mewakili tertuduh, Nurhazneena Zurren Jaesleen Mohamad Hanafiah, memohon mahkamah memberi jaminan minimum kerana anak guamnya hanya bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan RM1,000 sebulan.
Selain itu, mereka juga perlu menanggung keluarga dan ibu bapa yang tidak sihat, termasuk adik kecil yang masih bersekolah.
Hakim Siti Noraida kemudian membenarkan tertuduh dua beradik dijamin masing-masing RM15,000, manakala tertuduh ketiga diberi jamin RM24,000 untuk dua pertuduhan yang dihadapinya.
Mereka juga diperintah untuk melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan tidak dibenarkan menghampiri mangsa. 18 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.








