2 beradik maut terlanggar tong roro, syarikat pemaju cuai & didenda RM1,000 | The Reporter

2 beradik maut terlanggar tong roro, syarikat pemaju cuai & didenda RM1,000

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Hasrat dua beradik, Muhammad Amirul Hazlin, 18, dan adiknya, Nur Afiqah Sofea, 5, untuk menziarahi pusara bapanya yang meninggal dunia 10 bulan lalu tidak kesampaian apabila mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Lebuh SPA, berdekatan Stadium Hang Jebat, Krubong, petang Isnin lalu.

Kejadian yang berlaku pada jam 6.15 petang itu turut disaksikan oleh ibu mangsa, Norizan Ujak, 40, yang ketika itu sedang menunggang motosikal, mengekori motosikal yang dinaiki dua anaknya menuju ke Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu.

Siasatan mendapati, mangsa dipercayai tidak menyedari kehadiran sebuah tong sampah roro yang diletakkan di bahu jalan, lalu merempuhnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Susulan kejadian itu, sebuah syarikat pemaju perumahan telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atas kesalahan tidak meletakkan sebarang tanda amaran berhampiran tong roro di laluan kecemasan, di lokasi kemalangan tersebut.

Kecuaian pihak pemaju telah menyebabkan dua beradik berkenaan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh tong roro tersebut.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, semasa kejadian pekerja syarikat itu sedang menjalankan kerja-kerja mencantas dahan pokok yang kemudian dibuang ke dalam tong roro. Malangnya tiada sebarang tanda amaran diletakkan di kawasan tersebut.

Penguatkuas MBMB kemudian turun ke lokasi dan mendapati hanya satu sahaja kon yang digunakan dan tiada sebarang papan tanda amaran yang diletakkan berdekatan tong roro.

Datuk Shadan Othman berkata, MBMB tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kecuaian seumpama itu tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku.

Sumber: Utusan Malaysia, Sinar Harian

Related Posts