Dua anggota polis telah diserang oleh seorang lelaki yang menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 pagi, hari ini, lapor Harian Metro.
Suspek yang identitinya masih belum dapat dikenalpasti, dikatakan bertopeng dan berpakaian gelap.
Suspek menceroboh masuk ke balai polis dengan membawa parang dan merampas dua senjata api.
Suspek turut melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota polis, menyebabkan kecederaan di bahagian bahu dan perut.
Mangsa yang terbabit dalam serangan itu adalah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, yang ditetak di bahagian belakang leher dan kepala, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, yang ditembak di bahagian perut dan lengan.
Kejadian ini juga telah mengakibatkan kematian. Polis sedang menjalankan siasatan.
2 konstabel, 1 koperal
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan dua anggota polis maut dalam kejadian itu.
Seorang konstabel yang ditetak di bahagian belakang leher dan kepala dilaporkan telah meninggal dunia. Seorang lagi anggota polis berpangkat konstabel juga dilaporkan maut akibat ditembak di bahagian perut dan lengan.
Seorang lagi anggota berpangkat koperal juga ditembak oleh suspek dan kini berada di zon merah, di sebuah hospital.
Suspek dipercayai telah ditembak mati.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar mengesahkan kejadian itu. Ketua Polis Negara, Tan sri Razaruddin Husain dikatakan sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian.








