Zumba terbuka: Ustazah Asma' Harun tegur trend terkini senaman wanita | The Reporter

Zumba terbuka: Ustazah Asma’ Harun tegur trend terkini senaman wanita

Ustazah Asma' Harun menegur trend senaman zumba yang dilakukan secara terbuka.
Gambar: Facebook Ustazah Asma’ Harun

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun tampil mengulas isu melibatkan penyertaan wanita Muslimah dalam aktiviti Zumba secara terbuka di tempat awam seperti taman dan dataran.

Walaupun niat untuk menjaga kesihatan adalah perkara terpuji dan disokong dalam Islam, katanya, niat yang baik tidak menghalalkan cara yang salah. Aktiviti senaman seperti Zumba yang melibatkan gerakan menyerupai tarian, diiringi muzik rancak dan dilakukan di hadapan umum, jelas bercanggah dengan prinsip syariah.

“Niat untuk sihat itu sangat baik dan Islam memang menyokong usaha menjaga kesihatan. Namun, niat yang baik tidak menghalalkan cara yang bercanggah dengan syariat. Aktiviti yang membuka ruang pandangan ajnabi, gerakan menggoda dan rentak muzik berlebihan tetap berada dalam sempadan larangan syarak.

“Isu utama bukan hanya pada pakaian semata-mata, tetapi juga pada pergerakan badan yang menyerupai tarian, rentak muzik yang rancak dan dilakukan pula di hadapan umum. Zumba adalah senaman berasaskan tarian moden yang sememangnya menarik perhatian, lebih-lebih lagi jika diperhatikan oleh lelaki ajnabi. Dalam keadaan seperti itu, ia tidak lagi sekadar senaman, tetapi boleh menjadi ruang kepada fitnah dan pintu maksiat,” jelas beliau.

Baca juga:

Beliau juga menjelaskan bahawa isu sebenar bukan hanya pada pakaian semata-mata, tetapi pada gerakan tubuh yang menggoda serta suasana terbuka yang membolehkan wanita diperhatikan, dirakam tanpa izin, dan videonya disebarkan ke media sosial. Beliau turut mengingatkan bahawa Islam sangat menitikberatkan penjagaan maruah wanita, dan setiap langkah mereka keluar dari rumah harus disertai dengan rasa takut terhadap fitnah dan kehinaan.

“Walaupun tiada interaksi fizikal antara lelaki dan wanita, pandangan mata yang tidak dijaga sudah cukup untuk mengundang dosa. Suasana terbuka menjadikan wanita mudah diperhatikan, dirakam, bahkan mungkin dikongsi ke media sosial tanpa izin. Sedangkan Islam sangat menjaga maruah wanita dan setiap langkah keluar wanita dari rumah perlu disertai dengan rasa takut kepada fitnah dan kehinaan,” katanya.

Buat di tempat tertutup

Justeru itu, beliau mencadangkan agar wanita Muslimah yang ingin melakukan senaman seperti Zumba melakukannya di tempat tertutup, khusus untuk wanita sahaja. Mereka juga dinasihatkan memakai pakaian yang longgar, tidak nipis dan tidak membentuk tubuh. Selain itu, mereka seharusnya tidak merakam atau berkongsi video atau gambar ke media sosial, dan perlu memastikan jurulatih wanita yang mengendalikan aktiviti itu memahami batas syarak serta menjaga adab.

Menurutnya, aktiviti senaman yang dilakukan perlu ringan dan melibatkan pergerakan yang minimum agar tidak melanggar batas-batas syariah. Beliau menambah bahawa menari di hadapan suami adalah dibolehkan, bahkan berpahala.

Ustazah Asma’ turut mengingatkan tentang amaran Rasulullah SAW terhadap wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang, berjalan menggoda dan mengajarkan maksiat kepada wanita lain. Mereka ini, menurut hadis sahih riwayat Muslim, tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau syurga.

“Jangan kerana ingin sihat tubuh, kita abaikan sihat jiwa. Jangan kerana nak jaga badan, kita lupakan maruah dan pandangan Pencipta kita. Bila kita menjaga kehormatan diri kerana Allah SWT, itulah sebenar-benar kebebasan dan kemuliaan. Wallahua’lam,” tegasnya.

Related Posts