'Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand' - KPN | The Reporter

‘Zamri Vinoth, Tamim Dahri larikan diri ke Thailand’ – KPN

Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengesahkan Zamri Vinoth dan Tamim Dahri dipercayai melarikan diri ke Thailand ketika siasatan polis dijalankan.
KPN memaklumkan usaha mengesan dua individu berkenaan giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis mengesahkan penceramah bebas Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri dipercayai melarikan diri ke Thailand ketika siasatan terhadap mereka berhubung beberapa kes berasingan sedang dijalankan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, berdasarkan maklumat risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kedua-dua individu terbabit dipercayai berada di negara jiran itu dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand.

Menurut beliau, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya mengenai penganjuran satu perhimpunan di perkarangan Sogo Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu telah selesai dijalankan.

“Kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan arahan pertuduhan dikeluarkan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Baca juga:

Dalam perkembangan berkaitan, siasatan terhadap Tamim Dahri pula berkaitan tindakan merosakkan ‘soolam’, simbol suci bagi penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah.

Kes itu telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah dengan arahan pertuduhan di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, satu lagi siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan yang didakwa berbaur penghinaan terhadap kaum India telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang bagi arahan pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Mohd Khalid menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

Related Posts