Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini, sebuah video tular di TikTok memaparkan orang ramai beratur panjang untuk membeli hidangan mi segera ‘Maggi Malam’ yang dijual di gerai tepi jalan berhampiran stesen minyak Caltex Setiawangsa.
Gerai tersebut mula beroperasi dari jam 6 petang dan dilaporkan sering kali dipenuhi pelanggan yang ingin mencuba hidangan mi segera tersebut.
Hidangan ‘Maggi Special’ yang dijual di gerai ini menarik perhatian ramai walaupun dijual pada harga RM15. Menu ini menggabungkan ayam goreng, beef pepperoni, telur hancur, dan mi segera yang popular, menjadikannya pilihan menarik bagi penggemar makanan tepi jalan.
Menurut pengulas makanan, Jason, harga RM15 yang dikenakan dianggap tidak sepadan dengan kualiti mi yang disajikan. Dalam ulasannya, beliau menyatakan bahawa tekstur mi terlalu lembik kerana mungkin terlebih masak.
“Hanya satu benda yang saya tak suka, mi dia terlalu lembik. Macam terlebih masak. Untuk RM15, mahal nak mampuih. Lebih-lebih lagi dengan bahan-bahan pasar raya,” katanya.
Sementara itu, netizen turut memberikan pendapat mereka. Ada yang beranggapan harga RM15 untuk hidangan tersebut terlalu tinggi, dengan seorang pengguna, Senah, meluahkan rasa hairan terhadap fenomena ini.
“Ya Allah, aku tak tahu la kenapa kemaruk sangat. Weh megi ni RM15 tau. Tepi jalan, pacak payung jual harga gitu. Dan orang beratur panjang. Kat rumah kau takde meggi ke, mat? Mengucap panjang la aku tengok orang macam ni,” katanya.








