Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, meninggal dunia pada 17 Julai 2025 selepas ditemui dalam keadaan parah di kawasan bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), sebuah sekolah berasrama penuh di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
Keluarga mangsa menuntut siasatan yang telus dan bebas daripada sebarang pengaruh, sambil menolak cubaan mengaitkan kematian Zara sebagai kes jatuh sendiri atau tindakan membunuh diri.
Bagi pihak ibu kandung, Ustazah Noraida Lamat, penjaga dan pewaris sah kedua arwah, Syira Leizel Janice Abdullah, tampil berkongsi kronologi kejadian sebagai usaha memperjuangkan keadilan buat Zara.
Baca juga:
- Pemimpin sejati mesti tolak penindasan, perjuang hak manusia tanpa kira latar belakang – PM
- Alasan ‘ubat’ cuma helah, AADK sahkan ketum boleh sebabkan masalah mental
- Dua Anggota Maritim cedera dirempuh bot pancung bawa PATI
Ditemui ‘terjatuh’ sekitar jam 3 pagi
Pada kira-kira jam 3 pagi, Ustazah Noraida dimaklumkan melalui panggilan telefon oleh seorang warden bahawa Zara telah terjatuh dan dalam keadaan koma. Panggilan itu satu-satunya yang diterima, tiada penjelasan lanjut daripada pengetua atau guru lain.

Setibanya di hospital, doktor memaklumkan Zara mengalami kecederaan yang sangat serius. Otaknya tidak lagi berfungsi, tengkoraknya pecah dan tulang belakang dipercayai mengalami kerosakan. Kedua-dua tangan dan kaki patah, manakala organ dalaman gagal berfungsi akibat pendarahan dalaman.
Sekitar jam 4:30 petang, doktor memanggil keluarga untuk berbincang mengenai keadaan Zara yang sudah tidak menunjukkan sebarang fungsi otak. Selepas perbincangan yang berat dan penuh emosi, keluarga akhirnya membuat keputusan untuk menghentikan mesin bantuan pernafasan.
Keluarga desak penjelasan
Keluarga turut mempersoalkan beberapa kejanggalan penting yang masih belum dijawab oleh pihak sekolah mahupun penyiasat, antaranya:
- Tiada sebarang luka pada wajah arwah, walaupun dilaporkan jatuh dari tingkat tiga.
- Kecederaan dalaman yang amat serius, termasuk tengkorak pecah dan organ gagal, tidak seimbang dengan keadaan fizikal luaran yang kelihatan hampir sempurna.
- Posisi tubuh arwah semasa ditemui tidak menggambarkan impak jatuh dari tempat tinggi, sebaliknya dilihat dalam keadaan terlentang dan tersusun.
- Tiada saksi, tiada jeritan, dan tiada bunyi hentakan dilaporkan, walaupun waktu kejadian berlaku sekitar jam 2 hingga 3 pagi ketika ramai pelajar lain dikatakan masih berjaga.
- Tiada rakaman CCTV disahkan wujud, meskipun bangunan asrama berkenaan dipercayai mempunyai sistem pemantauan keselamatan.
“Kami tidak menuduh sesiapa. Tetapi kami berhak untuk mendapatkan kebenaran dan menuntut siasatan yang bebas daripada sebarang campur tangan,” kata Syira.
Hentikan spekulasi dan fitnah
Keluarga turut merayu agar masyarakat tidak membuat spekulasi atau meninggalkan komen berbaur fitnah di media sosial. Mereka meminta agar semua pihak menghormati kesedihan yang sedang ditanggung oleh ibu kandung serta seluruh keluarga.
“Kami bukan mencari simpati, tetapi menuntut ruang untuk arwah dikenang dengan maruah dan keadilan. Kami reda, tetapi kami tidak akan berdiam diri,” kata Syira.
Zara digambarkan sebagai pelajar yang lemah lembut, taat solat dan berjiwa cekal. Keluarga menegaskan , Zara tidak pernah menunjukkan sebarang petanda kemurungan atau kecenderungan mencederakan diri. Kematian ini, menurut waris, bukan sekadar tragedi peribadi, tetapi mencerminkan keperluan mendesak untuk menilai semula keselamatan dan tatakelola sekolah berasrama di bawah kendalian kementerian.
Sumber: FB Syira Leizel Janice Abdullah