Seorang warga emas meninggal dunia secara mengejut selepas menarik lembu peliharaannya ke tebing sungai di Jambatan Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, kejadian berlaku sekitar pukul 5 petang apabila Mohamad Taibi Wook, 60, rebah secara tiba-tiba selepas selesai menarik lembu naik ke tebing.
“Beberapa penduduk kampung melihat mangsa sedang menarik lembu naik ke tebing setelah kawasan itu dinaiki air. Selepas kembali ke perahu, mangsa kelihatan lemah sebelum jatuh tersungkur ke dalam perahu,” katanya.
Penduduk yang berada di lokasi segera membantu mengangkat mangsa ke tebing dan membawanya ke Klinik Kesihatan Jeram Tekoh bagi mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Mayat kemudian dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. Hasil pemeriksaan mendapati punca kematian adalah akibat penyakit jantung iskemik. Polis juga tidak menemui sebarang kesan luka atau lebam pada tubuh mangsa.
Menurut isteri mangsa, suaminya mempunyai sejarah penyakit jantung tersumbat sejak 2021. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sumber: Harian Metro








