Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita warga emas maut dengan kesan terbakar di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, Alor Setar dipercayai dibunuh oleh anak lelakinya.
Memetik laporan dari Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan melalui talian MERS 999 berhubung kejadian itu, jam 7.48 pagi.
“Polis yang tiba di lokasi kejadian membuat tangkapan terhadap suspek yang dikatakan mengamuk sebagaimana dilaporkan.
“Pemeriksaan lanjut polis sejurus itu pula menemukan mayat dalam keadaan terbakar di dalam rumah, dipercayai dibunuh,” katanya.
Menurut Siti Nor Salawati, insiden berkenaan disaksikan oleh anak suspek yang berusia 14 tahun. Ketika kejadian yang berlaku antara jam 7 hingga 7.30 pagi itu, anak suspek mendengar jeritan neneknya yang meminta tolong. Dia kemudiannya bergegas mendapatkan bantuan daripada jiran.
Bagaimanapun katanya, suspek telah mengancam jiran yang melihat kejadian menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak polis.
“Sebaik polis tiba, lelaki itu berjaya ditahan di hadapan rumah dan pemeriksaan lanjut menemui ibu suspek, yang berusia 68 tahun, dalam keadaan terbakar,” katanya.
Siti Nor Salawati berkata, hasil semakan mendapati suspek yang berusia 43 tahun adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.