Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini dianggap sebagai suspek dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, selepas penemuan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam sebuah ‘safehouse’.
Menurut laporan Berita Harian, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata status bekas Perdana Menteri kesembilan itu berubah daripada saksi kepada suspek selepas siasatan lanjut dibuat terhadap wang tunai yang dirampas dalam serbuan berkenaan. SPRM kini meminta Ahli Parlimen Bera itu membuat perincian harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM.
“Dalam hal ini, saya boleh katakan beliau adalah suspek kes ini kerana sudah diminta memperincikan harta. Selain itu, beliau juga perlu memberikan penjelasan berhubung penemuan wang tersebut,” katanya.
Sebelum ini, SPRM telah menahan empat individu, termasuk bekas pegawai kanan Ismail Sabri, dalam siasatan berkaitan kes ini. Agensi itu turut merampas wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dari tiga lokasi, termasuk ‘safehouse’ terbabit.







Azam turut mengesahkan bahawa Ismail Sabri akan dipanggil semula oleh SPRM pada Rabu ini untuk diambil keterangan lanjut, selepas sesi soal siasat selama empat hingga lima jam pada 11 Februari lalu.
Ketika ditanya mengenai siasatan ke atas dana kerajaan RM700 juta yang turut dikaitkan dalam kes ini, Azam berkata pihaknya masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti penyelewengan sebenar.
Beliau menafikan dakwaan bahawa siasatan terhadap Ismail Sabri bermotif politik, menegaskan SPRM bertindak secara profesional dan tidak memilih berdasarkan jawatan atau kedudukan.








