Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita warga Vietnam, Pham Thi Khuyen, 44 tahun, telah didenda sebanyak RM800 oleh Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan melakukan aktiviti persundalan.
Pham, yang belum berkahwin, telah mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut pada Khamis lalu.
Mengikut fakta kes, Pham ditahan polis dalam serbuan di hotel terbabit di Jalan Pesta, Muar. Pham ditemui bersama pelanggannya di dalam bilik tersebut pada jam 11.42 malam, 8 Februari dengan maksud sedang memberi khidmat seks kepada pelanggan lelaki.
Difahamkan, Pham mencari pelanggan menggunakan aplikasi WeChat dan meminta pelanggannya datang ke bilik tersebut untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu.
Polis turut merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, kondom, tisu basah, minyak pelincir dan satu kondom yang telah digunakan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Arif Marzuki, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan oleh Pham.
Namun, peguam yang mewakili Pham, Norain Sakina Zakri dari YBGK) merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda paling minimum kerana Pham menyesal atas perbuatan yang dilakukannya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM800 kepada Pham. Jika gagal membayar denda tersebut, Pham diarah menjalani hukuman penjara selama lima bulan.
Sumber: Harian Metro