Wanita diputuskan teman lelaki gara-gara telefon auto connect ke WiFi hotel | The Reporter

Wanita diputuskan teman lelaki gara-gara telefon auto connect ke WiFi hotel

Wanita menunjukkan telefon kepada lelaki dengan wajah serius semasa bertengkar
Wanita diputuskan teman lelaki selepas telefonnya tersambung automatik ke WiFi hotel yang didakwa tidak pernah dikunjunginya

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang wanita di China tidak menyangka hubungan cintanya berakhir hanya kerana telefon bimbitnya secara tiba-tiba tersambung ke WiFi sebuah hotel yang tidak pernah dikunjunginya.

Insiden itu berlaku ketika pasangan berkenaan bercuti sempena cuti Hari Pekerja di Chongqing. Semasa mendaftar masuk ke hotel, wanita dikenali sebagai Li menyedari dia tertinggal kad pengenalannya dan cuba mengakses versi digital kad tersebut. Ketika itu, telefonnya tiba-tiba bersambung terus ke rangkaian WiFi hotel.

Perkara itu menimbulkan kecurigaan teman lelakinya yang mempersoalkan bagaimana mungkin telefon Li boleh mengenali sambungan WiFi jika ini kali pertama mereka menginap di hotel berkenaan. Li pula berkeras menafikan pernah ke hotel tersebut, namun jawapan itu gagal meyakinkan pasangannya.

Akibat rasa curiga yang berpanjangan, lelaki itu akhirnya mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan mereka. Kecewa dengan tuduhan tidak berasas itu, Li nekad mencari punca sebenar. Selepas menyiasat sendiri, Li menyedari dahulu dia pernah bekerja di sebuah hotel lain di Chongqing yang menggunakan nama dan kata laluan WiFi yang sama.

Li cuba menghubungi bekas teman lelakinya untuk menjelaskan keadaan sebenar, namun nombornya telah disekat. Akhirnya, dia tampil membuat penjelasan secara terbuka melalui Chongqing TV untuk membersihkan namanya.

Wartawan dari Chongqing TV kemudian membuat ujian di kedua-dua lokasi dan mendapati telefon yang pernah tersambung di hotel lama Li juga akan bersambung automatik di hotel semasa, sekali gus membuktikan penjelasan Li adalah benar.

Menurut pakar keselamatan siber, Liu, telefon sememangnya boleh bersambung automatik ke rangkaian berbeza yang menggunakan nama dan kata laluan serupa kerana ia menganggap sambungan itu sebagai rangkaian yang dipercayai.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mematikan fungsi sambungan automatik WiFi bagi mengelak kekeliruan dan risiko keselamatan. – Agensi

Related Posts