Wanita maut dirempuh van langgar lampu isyarat merah | The Reporter

Wanita maut dirempuh van langgar lampu isyarat merah

Wanita maut selepas motosikal dirempuh van di lampu isyarat merah Napoh.
Gambar tular di media sosial menunjukkan kawasan kemalangan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah van Toyota Hiace yang tidak berhenti di lampu isyarat merah di Napoh,Jitra malam tadi.

Mangsa, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, dari Kampung Bukit Beruas, Mukim Binjal, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, meninggal dunia akibat kecederaan parah di tempat kejadian. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk bedah siasat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 10.15 malam ketika pemandu van berusia 60 tahun yang berasal dari Satun, Thailand, dalam perjalanan dari Pantai Remis, Perak ke Satun, Thailand.

“Apabila van itu tiba di lampu isyarat Napoh, pemandu dipercayai tidak berhenti ketika lampu merah dan melanggar motosikal yang datang dari simpang sebelah kiri.

“Pemandu van tidak mengalami kecederaan dan masuk ke Malaysia menggunakan passport,” katanya.

Baca juga:

Menurutnya, hasil saringan awal air kencing mendapati beliau bebas daripada pengaruh dadah. Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.

Rakaman papan pemuka (dashcam) turut tular memaparkan van tersebut melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh motor yang ditunggang oleh mangsa.

Sumber: Sinar Harian, Harian Metro

Related Posts