Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Kehilangan seorang wanita berusia 26 tahun sejak 5 Disember lalu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui dalam keadaan hampir reput di kawasan longkang Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya, Kuching.
Terdahulu, mangsa, Nurul Asikin Lan, dilaporkan keluar bersama seorang lelaki yang baru dikenalinya sebelum kehilangannya. Usaha keluarga untuk menghubungi telefon bimbit Nurul Asikin gagal, manakala lelaki tersebut dikatakan telah menyekat semua nombor telefon ahli keluarga mangsa.
Suspek turut dilaporkan berlepas ke Kemboja untuk menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Kemboja tanpa ditemani mangsa, menimbulkan tanda tanya besar mengenai keberadaan Nurul Asikin.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, mengesahkan penahanan suspek berusia 23 tahun bagi membantu siasatan. Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Disember. Menurut Mohd Farhan, pihak polis telah menemui mayat mangsa yang hampir reput di kawasan longkang berhampiran, dan siasatan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, bapa mangsa, Lan Endor, berkata kehilangan anak sulungnya itu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga. Beliau menyifatkan anaknya sebagai seorang yang ceria dan bertanggungjawab, serta sering memaklumkan ibunya apabila keluar rumah.
Keluarga mangsa kini berharap agar pelaku akan menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, turut melawat keluarga mangsa bagi menyampaikan ucapan takziah serta sumbangan khairat kematian. Nancy memaklumkan kementeriannya bersedia menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa jika diperlukan.