Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 13 individu warga tempatan yang terlibat dalam kes kehilangan wang daripada beberapa akaun simpanan sebuah bank berjumlah RM24.2 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lapan lelaki dan lima wanita telah ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua individu yang ditahan berusia antara 22 hingga 53 tahun. Dari jumlah tersebut, 12 orang telah ditahan di Sabah dan seorang lagi di Perlis.
Lebih menarik, empat daripada individu yang ditahan adalah kakitangan bank yang berkaitan dengan kes ini.
Seramai 11 individu yang ditahan sedang direman sehingga Jumaat ini, manakala seorang lagi direman sehingga hari Khamis. Satu individu yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
PDRM sedang giat menjalankan siasatan lanjut mengenai bagaimana wang sebanyak RM24.2 juta itu hilang dari akaun-akaun simpanan bank tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan penipuan dan pengubahan wang haram.
Terdahulu, polis menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank pada awal Jun lalu selepas mangsa menyedari berlaku pengeluaran wang secara tunai yang mencurigakan di Kota Kinabalu, yang membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.








