Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar didakwa atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta, pada enam tahun lalu.
Bagaimanapun pasangan berkenaan mengaku tidak bersalah.
Memetik laporan Sinar Harian, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.
Kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn.Bhd. kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.
Kesalahan didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Bukit Damansara di sini, pada 21 Ogos 2018.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, terdapat beberapa transaksi mencurigakan dikesan sejak tahun 2018 hingga tahun lalu, berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan.








