Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dua wanita telah ditahan oleh pihak polis selepas terlibat dalam pergaduhan dalam video yang tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 25 saat itu menunjukkan kedua-dua wanita terbabit bergaduh sambil mengeluarkan kata-kata kesat.
Pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada perebutan tempat parkir di sebuah pasar raya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman mengesahkan penahanan kedua-dua wanita tersebut yang masing-masing berusia 25 dan 38 tahun. Mereka ditahan di lokasi berasingan di daerah itu pada hari kejadian.
“Pihak polis menerima laporan daripada kedua-dua wanita itu pada Isnin dan Selasa lalu. Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan perasaan tidak berpuas hati ketika merebut tempat parkir kenderaan,” kata Anuar dalam kenyataan pada Jumaat lalu.
Menurut beliau, kedua-dua wanita tersebut disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam.
Selain itu, polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian untuk membuat komen dengan niat menyakitkan hati, menganiaya, mengugut, atau mengganggu orang lain.
Sumber: Bernama via Sinar Harian








