Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Awal pagi tadi, dua mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank di Setia Alam telah diletupkan oleh tiga penjenayah bertopeng dan mereka berjaya melarikan wang sebanyak RM349,000.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati tiga suspek masuk ke ruangan mesin ATM itu pada jam 6.30 pagi. Lima minit kemudian, mereka berjaya meletupkan mesin berkenaan.
Kejadian itu disedari oleh orang awam yang terus menghubungi polis pada jam 6.48 pagi dan sepasukan polis segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
Dua mesin ATM didapati rosak teruk akibat letupan dan hanya sebuah sahaja mesin yang berjaya dibuka.
Semakan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) menunjukkan tiga suspek terbabit datang ke lokasi dengan menaiki sebuah kereta dipercayai jenis Mitsubishi ASX. Namun, rakaman CCTV menjadi kabur selepas suspek bertindak menyembur lensa CCTV menggunakan spray hitam.
Unit Forensik percaya suspek meletupkan mesin ATM tersebut menggunakan cara tekanan gas. Tiada kesan kebakaran di tempat kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jumlah kerugian dianggarlah sebanyak RM409,000 di mana wang tunai sebanyak RM349,000 dan selebihnya mesin ATM itu bernilai RM30,000 setiap satu.
Usaha memburu suspek sedang giat dilakukan dan kes diklasifikasi mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro









