Penyanyi, Mimi Fly sekali lagi menjadi perhatian ramai. Bukan kerana lagu raya yang tular, tetapi kelunakan suaranya ketika membacakan ayat-ayat suci Al-Quran dalam rancangan televisyen Geng Mengaji terbitan Astro Oasis.
Menerusi program berkenaan, Mimi diminta untuk membacakan potongan ayat daripada surah al-Jaathiyah bermula dari ayat 20 hingga 21.
Ketika diminta untuk berbuat demikian, Mimi menyatakan bacaannya mungkin tidak sebaik ustaz.
“Baik, tak seindah ustaz ya,” jawabnya ringkas.
Bagaimanapun, apabila Mimi memulakan dengan ayat surah berkenaan, pendakwah bebas, Ustaz Tarmizi yang juga merupakan panel dalam program tersebut sudah mula tergamam mendengar suara Mimi.
Sebaik sahaja Mimi selesai membacakan potongan ayat surah tersebut, ketiga-ketiga pendakwah program berkenaan tergamam dan memuji kelunakan suara Mimi.
“Masya-Allah, tak sangka saya.
“Inilah yang kita suka bila ada sahabat kita, contohnya Mimi dalam bidang nyanyian tapi bila dia mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran, tercengang kita yang mendengarnya,” kata Ustaz Tamizi.








