Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa penyatuan antara UMNO dan Pas perlu dimulakan segera di Melaka dan bukan sekadar strategi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).
Dalam satu sesi temu bual Podcast Keluar Sekejap yang dihoskan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Akmal berkata, berdasarkan rekod semasa di Melaka, UMNO memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala Pas tidak memenangi sebarang kerusi.
Namun, beliau menekankan bahawa isu penyatuan Melayu tidak boleh dilihat semata-mata daripada sudut pembahagian kerusi atau kekuatan parti.
“Apabila UMNO dengan Pas, kenapa UMNO dengan Pas? Sebab ini adalah dua parti Melayu yang terbesar,” tambahnya.
Penyatuan parti Melayu terbesar
Akmal menjelaskan, pendirian itu bukan bermaksud menolak parti lain seperti Parti Amanah Negara (Amanah), PKR atau Bersatu, tetapi penyatuan Melayu perlu dimulakan dengan dua parti Melayu terbesar terlebih dahulu.
“Kita terima, tak ada masalah. Tapi penyatuan untuk Melayu ini mesti dimulakan dengan dua parti Melayu yang terbesar,” ujarnya.
Beliau juga mengakui bahawa tidak semua ahli UMNO, terutamanya di Melaka, mungkin sependapat dengan pendiriannya.
“Ini bukan soal parti. Apabila kita bercakap tentang penyatuan orang Melayu, ia melebihi soal kepentingan parti,” katanya.
Baca juga:
- Hamzah Zainuddin dipecat keahlian BERSATU serta-merta
- ‘UMNO dan Pas perlu mulakan penyatuan di Melaka’ – Dr Akmal Saleh
- ‘Nak pecat, pecat betul-betul’ – Wan Fayhsal
Perjuangan parti
Beliau juga menyentuh konsep ‘Rumah Bangsa’ Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang membuka peluang kepada mereka yang sehaluan dalam perjuangan untuk menyertai parti itu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penyatuan Melayu tidak bertujuan mengambil hak kaum lain dan apabila membincangkan soal bangsa serta musyawarah nasional, ia berkaitan dengan masa depan.
Beliau turut mendedahkan wujud keresahan dalam kalangan orang Melayu di peringkat akar umbi yang merasa kedudukan mereka tidak selamat dalam landskap politik semasa.
Menurut Dr Akmal, perpecahan orang Melayu kepada terlalu banyak parti politik menyebabkan suara mereka menjadi minoriti dan menjejaskan kekuatan politik. Beliau menambah bahawa isu ini lebih dirasai di peringkat akar umbi berbanding di Kuala Lumpur.
Sumber: Sinar Harian, Podcast Keluar Sekejap









