Tular satu klip video memaparkan kelakuan mesra sepasang lelaki dan wanita dipercayai pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sebuah kedai makan di Malim Jaya, Melaka sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
Susulan video tular berkenaan, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti identiti pasangan terbabit serta status hubungan mereka.
Memetik laporan Kosmo, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya juga akan meneliti peruntukan undang-undang syariah berkaitan sekiranya terdapat unsur perbuatan tidak sopan di tempat awam.
“JAIM akan siasat perkara ini termasuk mengenal pasti sama ada mereka suami isteri atau sebaliknya.
“Kita juga akan melihat dari sudut peruntukan undang-undang syariah yang berkaitan sekiranya terdapat unsur perbuatan tidak sopan di tempat awam,” katanya.

Baca juga:
- Menteri Agama puji Jep Sepahtu, sifatkan inspirasi kepada golongan asnaf
- MP Masjid Tanah cadang Hospital Putrajaya dinamakan sempena Tun Dr Hasmah
- Bajet 2027: Puad gesa tubuh badan khas pantau perbelanjaan kementerian
Menurut Rahmad, sekiranya pasangan terbabit mempunyai ikatan perkahwinan sekalipun, aksi sedemikian tetap dianggap kurang sesuai dilakukan secara terbuka kerana masyarakat perlu menjaga adab, kesopanan dan sensitiviti sekeliling.
“Walaupun mereka suami isteri, aksi sedemikian tetap kurang sesuai dilakukan di khalayak ramai kerana kita perlu menjaga adab dan kesopanan,” katanya.
Katanya juga, tindakan boleh diambil mengikut peruntukan di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.








