Tujuh anjing ‘hilang’ jadi tular, jalan lebih 17km pulang ke rumah | The Reporter

Tujuh anjing ‘hilang’ jadi tular, jalan lebih 17km pulang ke rumah

Sekumpulan tujuh anjing berjalan di lebuh raya dalam cuaca sejuk di Changchun sebelum berjaya pulang ke rumah selepas hilang
Tangkap layar video tular sekumpulan anjing berjalan sejauh 17 KM.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sekumpulan tujuh ekor anjing di China mencuri perhatian ramai selepas video menunjukkan mereka berjalan lebih 17 kilometer untuk pulang ke kampung halaman menjadi tular di media sosial. Menerusi rakaman berkenaan, kumpulan anjing tersebut kembali ke pangkuan pemilik masing-masing selepas beberapa hari dilaporkan hilang.

Video berkenaan memaparkan pelbagai baka termasuk golden retriever, labrador, German shepherd dan Pekingese berjalan di lebuh raya sekitar Changchun, ibu kota wilayah Jilin di timur laut China. Lebih menyentuh hati, kumpulan itu diketuai seekor anjing baka corgi yang dikenali sebagai “Dapang”, atau bermaksud ‘si gemuk besar’. Difahamkan, video tersebut meraih lebih 230 juta tontonan dalam talian.

Seorang sukarelawan pusat penyelamat anjing terbiar tempatan, dikenali sebagai Tong Tong, tampil membantu selepas bimbang dengan keselamatan haiwan itu dalam suhu bawah sifar. Menurutnya, dia turun ke kampung berhampiran untuk mengedarkan risalah anjing hilang dan turut menggunakan dron bagi menjejaki mereka, terutama ketika salji mula turun pada 18 Mac.

Keesokan harinya, dilaporkan kesemua anjing berjaya menemui jalan pulang. Tiga daripadanya, termasuk Dapang, milik seorang wanita yang telah mencarinya selama empat hari sebelum hampir berputus asa. Anjing tersebut akhirnya pulang sendiri ke rumah, sebelum pemiliknya menemui anjing lain yang dijaga penduduk kampung berhampiran.

Baca juga:

Punca sebenar kehilangan mereka bagaimanapun masih menjadi persoalan. Ada netizen mendakwa kemungkinan anjing-anjing itu diculik untuk perdagangan, namun pihak berkuasa wilayah Jilin menjelaskan bahawa mereka sebenarnya merayau sendiri, dipercayai tertarik dengan seekor anjing German shepherd betina. Pihak media tempatan turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai spekulasi yang belum disahkan.

Kisah menyentuh hati ini turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, malah ada yang bergurau ia sesuai dijadikan filem seperti versi dunia sebenar kartun Paw Patrol. Tidak kurang juga yang meluahkan rasa sebak melihat kesetiaan haiwan tersebut, dengan menyifatkan anjing sebagai sahabat manusia yang setia selamanya.

Sumber: The Guardian

Related Posts