Mojtaba Khamenei dipilih sebagai Pemimpin Agung baharu Iran | The Reporter

Mojtaba Khamenei dipilih sebagai Pemimpin Agung baharu Iran

Mojtaba Khamenei dipilih sebagai Pemimpin Agung Iran menggantikan Ali Khamenei
Gambar: X Mario Nawfal

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Anak kepada pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, iaitu Mojtaba Khamenei, dilaporkan telah dipilih sebagai penggantinya sebagai Pemimpin Agung Republik Islam Iran.

Keputusan itu diumumkan pada Ahad oleh badan ulama yang bertanggungjawab memilih pemimpin tertinggi negara, iaitu Assembly of Experts. Dalam kenyataan yang disiarkan media kerajaan, badan tersebut memaklumkan bahawa Mojtaba dipilih melalui apa yang disifatkan sebagai “undi penentu”.

Majlis berkenaan turut menyeru rakyat Iran supaya memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan baharu itu serta mengekalkan perpaduan negara ketika berdepan situasi genting.

“Kami menyeru seluruh rakyat Iran, khususnya golongan elit dan intelektual dari institusi pengajian agama dan universiti, supaya menyatakan kesetiaan kepada kepimpinan baharu dan memelihara perpaduan negara pada saat kritikal ini,” menurut kenyataan tersebut.

Berpotensi cetus ketegangan baharu

Namun, perkembangan itu berpotensi meningkatkan lagi ketegangan geopolitik, khususnya dengan Amerika Syarikat. Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini telah menyatakan bahawa Mojtaba merupakan calon paling berkemungkinan menggantikan bapanya dan menegaskan bahawa pilihan itu tidak boleh diterima oleh Washington.

Malah Trump dilaporkan memberi amaran bahawa pemimpin tertinggi Iran yang baharu itu ‘tidak akan bertahan lama’ sekiranya Tehran tidak mendapat persetujuan Amerika Syarikat.

Dalam masa sama, tentera Israel turut menyatakan akan terus menjejaki mana-mana pengganti kepada Ali Khamenei serta individu yang terlibat dalam proses pelantikan tersebut.

Kali pertama kepimpinan diwarisi dalam keluarga

Pelantikan Mojtaba Khamenei menandakan kali pertama sejak Revolusi Islam Iran 1979 kepimpinan tertinggi negara itu berpindah daripada bapa kepada anak.

Perkembangan ini dijangka mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat Iran mengenai kemungkinan wujudnya sistem kepimpinan berbentuk dinasti, sedangkan republik itu ditubuhkan selepas menggulingkan pemerintahan monarki Shah yang berasaskan warisan keluarga.

Terdahulu, Ali Khamenei yang memerintah Iran selama 37 tahun dilaporkan terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Tehran pada 28 Februari lalu, hari pertama konflik perang melibatkan Iran.

Sokongan institusi utama negara

Selepas pengumuman tersebut, beberapa institusi utama Iran segera menyatakan sokongan kepada kepimpinan baharu itu.

Media kerajaan melaporkan kepimpinan angkatan tentera negara telah mengangkat sumpah setia kepada Mojtaba Khamenei. Speaker Parlimen Iran turut menyifatkan mengikuti kepimpinan beliau sebagai ‘tanggungjawab agama dan nasional’.

Ketua keselamatan negara pula menyatakan pemimpin baharu itu mampu memimpin Iran melalui keadaan sensitif ketika ini, manakala Islamic Revolutionary Guard Corps memberi jaminan bersedia mematuhi arahannya.

Tokoh berpengaruh di sebalik tabir

Mojtaba Khamenei yang berusia 56 tahun merupakan seorang ulama tetapi tidak pernah memegang jawatan yang dipilih melalui pilihan raya atau jawatan rasmi kanan dalam kerajaan.

Namun, beliau lama dianggap berada dekat dengan pusat kuasa di Iran dan mempunyai pengaruh besar dalam kalangan elit politik serta keselamatan negara, walaupun kebanyakannya beroperasi di luar perhatian umum.

Sumber: The Guardian

Related Posts