Trump desak batal perbicaraan rasuah Netanyahu, pertahankan ‘wira’ pemimpin Zionis | The Reporter

Trump desak batal perbicaraan rasuah Netanyahu, pertahankan ‘wira’ pemimpin Zionis

Donald Trump berbincang rapat dengan Benjamin Netanyahu dalam satu acara rasmi
Trump pertahan Netanyahu sebagai ‘wira’ dan gesa pemimpin Zionis itu dibebaskan daripada perbicaraan rasuah | Kredit gambar: Reuters

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Trump sifatkan Netanyahu sebagai wira negara yang tidak patut diheret ke mahkamah
• Mahu perbicaraan dibatalkan atau pengampunan diberi segera
• Tuduhan terhadap Netanyahu disifatkan sebagai usaha menjatuhkan beliau secara tidak adil

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa kerajaan Israel supaya membatalkan perbicaraan rasuah terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang menurutnya merupakan seorang wira negara dan sedang menjadi mangsa pendakwaan bermotifkan politik.

Dalam hantaran panjang di Truth Social, Trump menyatakan rasa kecewanya terhadap tindakan Israel meneruskan kes terhadap Netanyahu, walaupun pemimpin itu baru sahaja memainkan peranan penting dalam menangani konflik serius dengan Iran.

“Saya terkejut apabila mendengar bahawa Israel yang baru sahaja mencatat detik terbesarnya dalam sejarah di bawah kepimpinan Bibi Netanyahu, masih meneruskan pendakwaan tidak masuk akal terhadap Perdana Menteri Hebat semasa zaman perang mereka!” kata Trump.

Trump menyifatkan Netanyahu sebagai seorang “wira sejati” dan mendakwa mereka berdua telah “melalui neraka” bersama ketika berdepan ancaman dari Iran.

“Tiada siapa yang lebih cekap, bijak dan bersemangat dalam mempertahankan Tanah Suci seperti Bibi,” tambahnya.

Kenapa Trump mahu perbicaraan Netanyahu dibatalkan?

Trump mempersoalkan kesahihan pertuduhan terhadap Netanyahu, termasuk dakwaan menerima hadiah mewah dan layanan istimewa daripada tokoh industri hiburan dan media sebagai balasan kepada sokongan atau liputan positif.

“Dia telah menghadapi tekanan ini sejak Mei 2020. Ini sesuatu yang luar biasa bagi seorang Perdana Menteri Israel yang masih memegang jawatan. Ini kali pertama dalam sejarah perkara seperti ini berlaku,” katanya yang juga menyifatkan kes itu sebagai tidak adil dan menggesa ia dibatalkan atau Netanyahu diberi pengampunan.

“Perbicaraan Bibi Netanyahu perlu dibatalkan segera atau diberi pengampunan sebagai Wira Besar yang telah berjasa kepada negara!”

Tuduhan terhadap Netanyahu

Netanyahu kini berdepan pertuduhan rasuah, penipuan dan salah guna kuasa dalam tiga kes berasingan. Beliau menafikan semua dakwaan, menyifatkannya sebagai usaha sistem kehakiman dan media yang berat sebelah untuk menjatuhkannya secara politik.

“Lapan tahun saya menunggu hari ini. Lapan tahun saya menanti untuk membuktikan kebenaran dan menumbangkan dakwaan mengarut ini,” kata Netanyahu menjelang keterangannya di mahkamah.

Walaupun jadual keterangannya padat iaitu enam jam sehari dan tiga hari seminggu, mahkamah menolak permintaan pasukan guamannya untuk menangguhkannya atas alasan kesibukan negara. – Agensi

Related Posts