Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menjadi bualan hangat selepas tindakannya yang dianggap pelik dan memalukan ketika final Piala Dunia Kelab FIFA 2025 yang berlangsung pada 13 Julai lalu di Stadium MetLife, New Jersey. Ketika pasukan Chelsea meraikan kejayaan menewaskan Paris Saint German (PSG), Trump dilihat terus berdiri di atas pentas seolah-olah sebahagian daripada pasukan walaupun majlis sudah hampir selesai.
Insiden itu berlaku ketika kapten Chelsea, Reece James, sedang bersiap sedia mengangkat trofi kemenangan. Presiden FIFA Gianni Infantino yang mulanya berdiri bersama berundur untuk memberi ruang kepada pasukan, tetapi Trump kekal di situ, menyebabkan pemain-pemain tampak serba salah.
Baca juga:
- FIFA denda FAM RM1.9 juta, tujuh pemain naturalisasi digantung setahun
- Syed Saddiq berjaya tamatkan Kejuaraan Ironman Dunia 2025
- F1 kembali popular, tapi Malaysia masih ragu-ragu – Razlan tegaskan ia pelaburan, bukan kos
Apa sebenarnya yang berlaku?
Rakaman video menunjukkan Trump menerima sorakan “boo” daripada sebahagian besar penonton sebaik lagu kebangsaan dimainkan. Namun situasi menjadi lebih janggal apabila dia kelihatan berdiri betul-betul di belakang pemain ketika trofi diangkat.
Salah seorang pemain Chelsea, Cole Palmer, kelihatan bingung dan bertanya, “Eh, apa yang sedang berlaku ni?”, seperti yang dikesan dalam rakaman membaca gerak bibir yang tular di TikTok.
Netizen pula pantas mengecam tindakan Trump di media sosial. Ada yang mengibaratkannya seperti budak kecil cuba meniup lilin ketika sambutan hari jadi orang lain.
“Dah macam tengok budak kecik dekat majlis hari jadi orang lain yang tiba-tiba nak tiup lilin sama… memang memalukan.”
Netizen anggap Trump cuba tumpang populariti
Ramai menyifatkan kelakuan Trump sebagai satu cubaan untuk menumpang populariti dalam acara bola sepak berprofil tinggi. Ada juga yang melihatnya sebagai langkah kempen halus menjelang pilihan raya AS yang akan datang.
Beberapa pengulas sukan antarabangsa turut mengkritik penganjur kerana membenarkan Trump berada di atas pentas bersama pasukan yang menang tanpa sebarang peranan rasmi dalam acara tersebut.
Bagi peminat bola sepak, momen kemenangan sepatutnya menjadi detik untuk pemain diraikan, bukan dikaburi oleh kehadiran individu yang tiada kaitan langsung dengan kejayaan itu.