Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, menegaskan bahawa parti itu telah mengambil tindakan tegas terhadap tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS kerana parti tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah.
Beliau menjelaskan, walaupun keputusan ini berpotensi menjejaskan kestabilan kerajaan Perlis, prinsip dan integriti parti mesti diutamakan berbanding kepentingan jangka pendek.
“Dalam suasana ini, saya menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS agar kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang hanya menguntungkan pihak lawan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar parti BERSATU mengambil tindakan serupa terhadap ADUN mereka yang terlibat menandatangani statutory declaration (SD) sehingga menimbulkan ketidakharmonian di Perlis. Menurut beliau, tindakan tegas ini penting bagi menghormati rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) serta memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.
Baca juga:
- ‘Tindakan tegas terhadap tiga ADUN demi disiplin parti’ – Tuan Ibrahim
- 24 jam atau putus kerjasama, UMNO Puchong desak Yeo Bee Yin padam hantaran Najib
- Pemimpin DAP cadang perbincangan pengampunan penuh Najib
Beliau membandingkan situasi di Perlis dengan isu yang pernah berlaku di Nenggiri, di mana BERSATU telah menghentikan keahlian ADUN Nenggiri kerana menyokong PMX sehingga membuka ruang kepada Pilihan Raya Kecil (PRK), walaupun kejadian itu tidak melibatkan SD.
“Berbanding dengan Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius kerana ia memberi kesan langsung kepada keutuhan kerajaan PN,” jelas beliau.
Sebagai rakan dalam gabungan utama PN, Tuan Ibrahim yakin BERSATU akan bertindak secara konsisten dan tegas, selaras dengan semangat Akta Anti Lompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat.
“PAS telah melakukan tindakannya demi mendisiplinkan parti, kini saya merasakan BERSATU wajar melakukan perkara yang sama kepada ADUNnya,” tambah beliau.
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memutuskan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani akuan bersumpah (SD). Tiga ADUN yang terlibat ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).









