'Tiada permohonan menghadap sehingga 31 Januari' - Sultan Ibrahim - The Reporter

‘Tiada permohonan menghadap sehingga 31 Januari’ – Sultan Ibrahim

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Alhmarhum Sultan Iskandar bertitah tidak akan menerima apa-apa permohonan mengadap bermula semalam (6 Januari) sehingga 31 Januari ini.

Titah baginda kepada Royal Press Office (RPO) dimuat naik menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim itu turut memaklumkan ketetapan itu terkecuali bagi majlis yang telah ditetapkan serta sesi mingguan bersama Menteri Besar Johor serta Kerajaan Negeri.

“Bermula sekarang sehingga saya mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong, saya tidak akan menerima apa-apa permohonan untuk mengadap.

“Dalam tempoh berkenaan, saya ingin meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sebelum menjalankan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO).

Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober lalu bersetuju mengisytiharkan, Sultan lbrahim, Sultan Johor dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVll, selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.

Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama.

Pelantikan baharu itu menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.

Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Sumber: Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Tak nak ketinggalan berita terkini? Sertai kami di Facebook, Instagram, X (Twitter), Telegram, WhatsApp dan Threads!

Total
0
Shares
Related Posts
error: Content is protected !!