Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini tular rakaman video yang memaparkan pengantin baharu bergambar di landasan kereta api di Guillemard Bridge, Tanah Merah, Kelantan.
Susulan itu, Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan tidak akan berkrompomi dengan mana-mana pihak yang secara jelas menceroboh kawasan landasan kereta api dan tindakan itu boleh dikenakan denda sebanyak RM500.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha berkata, mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kesemua kawasan landasan merupakan kawasan larangan serta boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 126 akta tersebut.
Beliau berkata, orang ramai diminta agar tidak menceroboh termasuk mengambil gambar di mana-mana landasan kereta api memandangkan perbuatan itu adalah bahaya.
“KTMB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati melanggar peraturan ini.
“Kami menyeru orang ramai untuk sentiasa mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Keselamatan adalah keutamaan KTMB dan kami berharap agar penceroboh landasan kereta api tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya.
Sumber: Bernama








