'Tiada alasan untuk kibarkan bendera Israel' – Anwar | The Reporter

‘Tiada alasan untuk kibarkan bendera Israel’ – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap di Dewan Rakyat menegaskan tindakan mengibar bendera Israel di Malaysia satu bentuk pengkhianatan terhadap dasar negara.
Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan mengibar bendera Israel di Malaysia yang disifatkannya mencemari maruah negara serta menyinggung sensitiviti rakyat. | Sumber gambar: Pejabat Perdana Menteri / Facebook Anwar Ibrahim

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan segelintir pihak yang mengibar bendera Israel dan menampal tulisan Hebrew di Malaysia, menyifatkannya sebagai tindakan tidak beradab dan mengkhianati dasar negara.

Anwar menegaskan, tiada sebarang alasan sama ada gimik persembahan atau salah faham yang boleh dijadikan justifikasi untuk mempamerkan simbol rejim yang menindas rakyat Palestin.

“Ini bukan soal kecil. Ia menyinggung perasaan rakyat dan bertentangan sepenuhnya dengan dasar negara. Mana ada bangsa yang waras sanggup mengibar bendera penjajahnya sendiri,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut menyifatkan perbuatan itu sebagai pengkhianatan terhadap semangat kebangsaan dan perbuatan yang mencemarkan maruah negara di mata dunia.

Baca juga:

Anwar sokong tindakan tegas polis

Perdana Menteri turut menyokong langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap individu yang terlibat, termasuk penganjur “Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza” yang kini disiasat mengikut Akta Lambang Kebangsaan 1949.

Siasatan turut dijalankan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa menampal tulisan Hebrew bermaksud “Malaysia adalah Rumah Kita” selepas tular di media sosial.

Anwar menegaskan, dasar negara mengenai isu Palestin tidak pernah berubah dan mana-mana pihak yang cuba mencabar pendirian ini akan berdepan tindakan undang-undang tanpa kompromi.

Sumber: Harian Metro

Related Posts