Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Filem Thunderbolts terbitan Marvel Studios, yang kini menjadi tumpuan ramai peminat di seluruh dunia, termasuk Malaysia, rupanya hampir memilih Indonesia sebagai lokasi utama penggambaran. Namun, keputusan saat akhir menyaksikan Kuala Lumpur menjadi lokasi pilihan, sekaligus mencetuskan pelbagai reaksi netizen terutama dari negara jiran.
Pengarah filem itu, Jake Schreier, mendedahkan bahawa mereka pada mulanya mempertimbangkan sebuah menara di Jakarta untuk babak penting dalam filem tersebut. Tetapi akhirnya, Menara Merdeka 118 di Kuala Lumpur dipilih kerana ia lebih tinggi dan sesuai dengan keperluan visual serta tema gelap dan minimalis filem berkenaan.
Menurut laporan portal Asean Skyline, faktor kesesakan lalu lintas yang teruk di ibu kota Indonesia menjadi antara sebab utama lokasi itu tidak dipilih. Schreier turut menyifatkan Menara Merdeka sebagai “ikonik dan sangat sinematik,” sekaligus membantu menjayakan babak terjunan dramatik oleh pelakon utama, Florence Pugh.
Namun, keputusan itu mengundang rasa tidak puas hati segelintir netizen Indonesia. Ada yang mendakwa Malaysia telah ‘membayar’ pihak Marvel untuk mendapatkan hak penggambaran filem tersebut di sini. Dakwaan itu bagaimanapun tidak disokong oleh sebarang bukti dan tidak disahkan oleh mana-mana pihak produksi.
Sebaliknya, pemilihan Malaysia dilihat berdasarkan pertimbangan praktikal dan estetika visual semata-mata. Malah, filem ini turut menampilkan penglibatan bakat tempatan apabila pakar kesan khas (VFX) dari Malaysia, Kevin Pinga, turut menyumbang dalam proses pascaproduksi filem itu.
Keterlibatan Malaysia dalam produksi bertaraf dunia seperti Thunderbolts bukan sahaja membanggakan, malah memberi pendedahan positif kepada landskap sinematik negara.