Thailand, Kemboja setuju genjatan senjata serta-merta | The Reporter

Thailand, Kemboja setuju genjatan senjata serta-merta

Thailand dan Kemboja setuju laksanakan genjatan senjata.
Tangkap layar video sidang media mesyuarat khas Thailand-Kemboja.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa sebarang syarat, dalam usaha meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Persetujuan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaku Pengerusi ASEAN dan hos kepada pertemuan antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.

Menurut Anwar, beberapa langkah susulan dipersetujui, termasuk mesyuarat tidak rasmi antara komander wilayah dari kedua-dua pihak bermula jam 7 pagi, 29 Julai ini, serta mesyuarat bersama atase pertahanan yang akan dipengerusikan oleh ASEAN jika dipersetujui semua pihak.

“Kedua-dua negara juga bersetuju mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC) pada 4 Ogos yang akan dihoskan oleh Kemboja, selain menyambung semula komunikasi langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan masing-masing,” katanya dalam sidang media bersama.

Anwar turut memaklumkan, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan Malaysia, Thailand dan Kemboja akan merangka mekanisme pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan gencatan senjata.

“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bersedia menyelaras pasukan pemantau, serta akan berunding dengan negara anggota lain untuk turut serta dalam usaha ini sebagai simbol komitmen serantau terhadap keamanan,” katanya.

Baca juga:
Kembalikan keadaan kepada normal

Tambah beliau, kedua-dua pemimpin Hun Manet dan Phumtham menyatakan kesediaan mereka melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan mengembalikan keadaan kepada normal.

Anwar turut mendedahkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menghubungi kedua-dua pemimpin untuk menggesa penyelesaian secara aman, manakala China terus berhubung dengan semua negara berkaitan bagi menggalakkan dialog dan pemulihan keamanan.

Mesyuarat khas tersebut berlangsung selama dua jam bermula jam 3.15 petang dan turut disertai Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan selaku penganjur bersama serta Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja memuncak selepas pertempuran tercetus di kawasan Preah Vihear pada 28 Mei lalu. Pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer itu berlarutan selama beberapa dekad, namun menjadi konflik berdarah minggu lalu dengan lebih 80,000 penduduk di utara Kemboja terpaksa dipindahkan.

Sumber: Berita Harian

Related Posts