Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Susulan daripada isu pernikahan antara seorang lelaki dari Malaysia dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun pada 2018, Thailand telah menguatkuasakan undang-undang mengharamkan perkahwinan bawah 17 tahun.
Menurut Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat, peraturan dikuatkuasakan pada tahun sama isu perkahwinan lelaki berusia 41 tahun itu mencetuskan kontroversi.
Katanya, peraturan berkenaan diluluskan Pusat Komuniti Islam Thailand bagi membendung kejadian seumpama itu daripada berulang.
“Perkahwinan antara lelaki berkenaan dengan kanak-kanak yang berusia empat kali lebih muda daripadanya pada 18 Jun 2018 sebagai isteri ketiga lelaki itu menggemparkan bukan sahaja di Thailand tetapi juga di Malaysia.
“Ia adalah pengalaman kali pertama bagi Majlis Agama Islam Narathiwat sejak ia ditubuhkan 30 tahun lalu.
“Sebelum ini, kami tidak pernah mengendalikan kes perkahwinan pasangan usia sebegini di Thailand dan ia adalah sejarah bagi kami,” katanya.
Justeru itu, pihak berkuasa Thailand mengarahkan pasangan itu menjalani perpisahan secara ‘mufaraqah’.
Pada 2018, Pusat Komuniti Islam Thailand mengharamkan perkahwinan kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah.
Peraturan itu melarang mana-mana masjid memberi kebenaran untuk perkahwinan membabitkan kanak-kanak bawah 17 tahun melainkan ia mendapat kebenaran Mahkamah Syariah serta kebenaran ibu bapa dengan dokumen yang diluluskan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Wilayah atau mana-mana balai polis tempatan.
Sumber: Berita Harian